29 Sep 2014

Perempuan dan titisan jernih

Hari semakin gelap. Aku gagahkan diri untuk bangkit dari katil usang untuk merenung ke luar jendela.
"Dum dam dum dam!"
Aku mendongak ke atas. Terjadi lagi pergaduhan yang sukar ditafsir oleh manusia di negeri awan. Dengan tiba-tiba, titisan jernih jatuh dari negeri awan dan terkena dedaun jendela kamar.
Eh, kenapa awan menangis? Terlalu beratkah penderitaan yang ditampung selama ini sehingga sukar untuk menyorokkan perasaan itu? Aku berfikir sejenak.
Oh, tiada bezanya dengan kaum perempuan. Sukar ditafsir oleh kaum lelaki. Sekuat apapun perempuan, pasti titisan jernih itu akan mengalir jua bila mana benteng hatinya telah rapuh. Lebih rapuh daripada pondok buruk yang berpuluh tahun tidak berpenghuni.
Cukup. Aku malas mahu fikir benda yang tidak bernoktah. Lebih baik aku tidur di katil usang kerana esok ada ujian hidup baru yang perlu ditempuh. Doakan aku berjaya untuk menempuhi ujian hidup itu. Selamat malam.

28 Sep 2014

Pasar perasaan

Ini pasar perasaan,
Pada gerainya duduk penjual sentimental,
Yang sering dikunjungi pembeli emosional.

Ini pasar perasaan,
Mereka memperdagangkan kata-kata,
Yang terbit daripada kalbu,
Bukan terbit daripada akal.

Mereka memperdagangkan hujah,
Yang rapuh dan lapuk,
Bagai kayu buruk,
Yang mudah dipatahkan,
Bagai rantai kering.

Ini pasar perasaan,
Di dalamnya mengalir sungai manusia,
Yang menghilirkan suara kosong.

Ini pasar perasaan,
Yang memperdagangkan akal cetak,
Dan tawar-menawar yang dangkal.

Kumasuki pasar ini,
Kususuri sungai sibuk ini,
Di tengah-tengah penjual dan pembeli,
Yang kaya dengan perasaan,
Tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

Ini pasar tidak berakal,
Yang diriuhkan kekosongan.

Karya: T. Alias Taib

p/s - Sajak kegemaran.